Selasa, 20 November 2012

RESEPI REMPEYEK

BAHAN A
400 ml air
200 gram tepung beras
200 gram tepung jagung
2 biji telur
Sedikit udang kering
1 sudu besar jintan kasar
1/2 sudu besar jintan manis
1 sudu besar ketumbar
5 ulas bawang putih
5 ulas cili kering
Secubit garam
Sedikit gula

BAHAN B
Minyak masak
Kacang tanah goreng
Ikan bilis goreng

CARA-CARA
(a)   Kisar bahan A
(b)   Panaskan minyak dalam kuali dan rendam acuan rempeyek    dalam minyak hingga panas
(c)   Isi bahan A ke dalam acuan dan taburkan dengan seekor ikan bilis goreng dan beberapa butir kacang tanah goreng. Masukkan dalam minyak yang panas.
(d)   Biarkan adunan keluar sendiri dari acuan. Goreng hingga masak dan toskan.

( Sumber : MegaInovasi 19.11.2012)



 

Rabu, 7 November 2012

PETUA MEMBELAH KELAPA

Apabila kelapa yang dibelah tidak lurus akan menyukarkan untuk mengukur kelapa sama ada dengan mesin parut kelapa atau dengan kukur.

Rendam kelapa beberapa jam atau semalaman dalam air sebelum dibelah bagi mendapatkan belahan kelapa yang lurus. 
 

Khamis, 18 Oktober 2012

CENDAWAN SEGAR

Ketika membeli cendawan seperti cendawan butang, pilih yang belum "terbuka".  Kelopak cendawan yang masih terkatup tandanya ia benar-benar segar.

( Sumber : Mega Mode 21.09.2012 )

SALAD KEKAL SEGAR

Salad lebih elok disimpan dalam peti sejuk tanpa perlu mencucinya terlebih dahulu supaya daunnya kering dan terus segar. Cuci ketika mahu menggunakannya. Jangan gunakan mangkuk besi atau aluminium ketika mencampurkan salad, sebaliknya gunakan mangkuk kayu, kaca atau tembikar.

( Sumber : Mega Mode 21.09.2012 )

KENTANG GORENG LEBIH RANGUP

Rendamkan kentang mentah dalam air sejuk sekurang-kurangnya setengah jam sebelum menggoreng untuk menambah kerangupan kentang goreng.

( Sumber : Mega Mode 21.09.2012 )

Selasa, 16 Oktober 2012

BUNGA KOBIS KEKAL PUTIH

Bagi memastikan warna bunga kobis kekal putih ketika dimasak atau direbus, tambahkan sedikit susu dalam air rebusan.

( Sumber : MegaMode 21.09.2012 )

Jumaat, 21 September 2012

DAGING PANGGANG CEPAT MASAK

Daging bertulang lebih cepat masak ketika dipanggang berbanding daging yang tidak bertulang.  Ini kerana tulang akan menyimpan haba di bahagian dalam menjadikan proses memanggang lebih cepat.

( Sumber : MegaMode 21.09.2012 )

Selasa, 11 September 2012

SUSU TIDAK MELIMPAH

Kerap berlaku susu yang sedang dididihkan melimpah walau sentiasa mengacaunya. Untuk elak masalah tersebut cuba cara ini. Sebelum menuang susu pada periuk untuk dididihkan, sapukan mentega pada keliling bibir periuk dan bahagian dalam bibir periuk. Dengan cara ini susu tidak akan melimpah lagi.

( Sumber : ModeMega 07.09.2012 )

Isnin, 10 September 2012

CARA MUDAH KUPAS BAWANG PUTIH

Mengupas kulit bawang putih kadangkala mengambil masa terutama ketika anda mahu cepat. Ada cara mudah iaitu dengan memanaskan seketika bawang putih dalam ketuhar gelombang mikro dan anda akan dapati ia lebih mudah dikupas.

Selain itu boleh juga rendam bawang putih dalam air selama kira-kira 10 minit sebelum mengupasnya.

( Sumber : ModeMega 07.09.2012 )

Rabu, 18 Julai 2012

GELAS MELEKAT

Jika dua biji gelas melekat antara satu sama lain, isikan bahagian atas dengan air sejuk dan rendamkan bahagian bawah dengan air panas.  Selepas beberapa minit cuba putarkan dengan berhati-hati untuk memisahkannya.

( Sumber : ModeMega 13.07.2012 )

HILANGKAN KESAN KOPI

Kopi dan teh akan meninggalkan kesan warna karat pada keliling bahagian dalam cawan atau mug seramik. 

Basahkan kain kemudian lap bahagian dalam mug dengan soda bikarbonat ( baking soda ). Jika ia kesan yang degil, rendam semalaman dalam air panas yang dicampur soda bikarbonat.

( Sumber : ModeMega 13.07.2012 )

MEMBERSIH PAPAN PEMOTONG

Selepas menggunakan papan pemotong atau kayu penggelek, tabur sedikit garam pada permukaannya yang basah dan gosok sehingga kering.

( Sumber : ModeMega 13.07.2012 )

KUALI BARU MELEKAT

Bagi mengelak kuali yang baru pertama kali digunakan melekat, goreng hampas kelapa (tanpa minyak) sehingga kekuningan.  Kemudian cuci kuali dan barulah gunakan untuk menggoreng.

( Sumber : ModeMega 13.07.2012 )

Jumaat, 6 Julai 2012

HILANGKAN SAKIT GASTRIK

Semalam Nisfu Sya'aban. Tidak lama Ramadhan berkunjung tiba. Saya terbaca dalam Lubuk Petua Warisan Mengenai Sakit Gastrik.

Ambil sehelai pucuk betik tua, sedikit ibu kunyit dan ibu garam sebesar jari kelingking.  Tumbukkan ketiga-tiga bahan tadi sehingga lumat dan gaulkan dengan setengah cawan air.  Tapis air tersebut dan minum. Amalkan seminggu sekali selama tiga minggu.

Sempat kalau mulakan hari ini juga. Minggu pertama pada 06 Julai 2012 (16 Sya'aban 1433), minggu kedua pada 13 Julai 2012 (23 Sya'aban 1433) dan minggu ketiga pada 20 Julai 2012 (30 Sya'aban 1433).

Selasa, 3 Julai 2012

PETUA MENGURANGKAN SAKIT GIGI

Masukkan serai yang diketuk ke dalam cawan bersama-sama garam. Tuangkan air panas. Kumur apabila suhunya menjadi suam-suam kuku. 

Selasa, 12 Jun 2012

PETUA BERJABAT TANGAN

Kita hendaklah bersangka baik sesama kita. Apabila orang menghulurkan tangan untuk berjabat dengan kita, kita hendaklah menyambut dengan bersalam (berjabat tangan) dengannya demi memupuk silaturrahmi sesama kita.

Tetapi ada kalanya, segelintir daripada mereka tidak ikhlas berjabat tangan dengan kita. Contohnya mereka ingin melepaskan belaan kepada kita tanpa kita sedari melalui berjabat tangan. Belaan yang dimaksudkan ialah makhluk halus yang mendampingi mereka.

Sekiranya kita khuatir perkara tersebut berlaku dan pada masa yang sama ingin menyambut salamnya (berjabat tangan), maka hendaklah menggenggam pergelangan tangannya dan bukan pada telapak tangan. Wallahu 'alam. 

Khamis, 31 Mei 2012

PETUA BAGI MENGURANGKAN KESAN CUACA PANAS

Saya difahamkan petua ini diamalkan oleh buruh-buruh India yang bekerja membina jalan raya.

Semasa menanak nasi, jerang air. Ketika air dalam periuk nasi mendidih; keluarkan air didihan nasi ke dalam cawan dengan menggunakan senduk.

Sekiranya dua cawan air didihan nasi diambil; maka gantikan dengan dua cawan air panas daripada cerek dan masukkan ke dalam periuk nasi. 

Minum air didihan nasi apabila sejuk. Selamat Mencuba.

Selasa, 22 Mei 2012

PETUA MENGELAKKAN PENYAKIT BATU KARANG

Setiap pagi minum sesudu cuka epal dan sesudu madu.

Nota : Hari ini majikan saya menjalani pembedahan di Hospital Pantai Puteri kerana terdapat enam ketul batu karang pada hempedunya. Saya doakan majikan saya selamat menjalani pembedahan tersebut. Amin.

Rabu, 9 Mei 2012

PETUA MENGHILANGKAN SAKIT GIGI

Getah dari kulit pokok cermai (atau nama saintifiknya Phyllanthus Acidus) mujarab dijadikan ubat sakit gigi.  Caranya adalah dengan mengambil kulit pokok dan dikeringkan sedikit kemudian direbus.

Air rebusan yang telah sejuk boleh digunakan untuk berkumur dan mujarab menghilangkan sakit gigi.

( Sumber : http:noorhasnahadam.multiply.com/journal ) 

Selasa, 8 Mei 2012

PETUA MENGUBATI PENYAKIT KENCING TIDAK LAWAS

Amalkan minum jus lobak putih (lobak putih dikisar bersama sedikit air). Tambahkan gula sekiranya perlu.

Khamis, 3 Mei 2012

PETUA ELAKKAN SIHIR

Amalkan ayat terakhir Surah At-Taubah dan tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah.

( Sumber : Dalam Hati Ada Taman 01.05.2012 PerakFM )

Isnin, 19 Mac 2012

PETUA MENGUPAS BAWANG

Kupas bawang di dalam air untuk mencegah mata berair.

( Sumber : Utusan Pengguna Disember 1990, m/s 20 Panduan Di Dapur )

Isnin, 12 Mac 2012

KERAPU MASAK TIGA RASA

BAHAN-BAHAN

Seekor ikan kerapu
2 biji bawang putih - dicincang halus
5 biji bawang merah - dicincang halus
8 biji cili merah - dicincang halus (kalau suka pedas :  guna cili padi)
2 biji tomato - dipotong dadu
2 kerat nenas - dipotong dadu
2 sudu cili boh
3 sudu sos tiram
2 susu sos ikan
Sedikit daun ketumbar
1 sudu besar tepung jagung (dibancuh dengan air)
1 sudu besar tepung jagung (dilumur pada ikan)
Serbuk kunyit
Garam Secukupnya 
Sedikit Gula 
Minyak

CARA-CARA

(a)       Ikan dibersihkan dan dilumurkan dengan garam, serbuk kunyit, cili boh dan tepung jagung.  Goreng ikan sehingga garing. Angkat, toskan dan masukkan ke dalam pinggan.

(b)       Panaskan minyak di dalam kuali lain dan masukkan bawang putih goreng sehingga separuh kekuningan.  Kemudian masukkan bawang merah dan goreng lagi sehingga naik bau.

(c)       Masukkan cili merah (atau cili padi) dan goreng seketika.  Kemudian masukkan nenas.

(d)       Masukkan tomato, sos tiram, sos ikan, sedikit gula, garam secukup rasa dan tepung jagung yang telah dibancuh dengan air.

(e)       Apabila sudah masak, tuang kuah ke atas ikan dan hiaskan dengan daun ketumbar.

( Diedit dari :  mrespeks@gmail.com / respeks_group@yahoo.com )

Selasa, 6 Mac 2012

PETUA MENGHILANGKAN DAKWAT PADA BAJU

Perah limau kasturi ke dalam mangkuk.  Masukkan garam. Kacau sehingga garam larut. Sapukan kepada kesan dakwat pada baju. Biarkan beberapa minit. Basuh baju seperti biasa.

( Sumber : IKIM FM 03.03.2012 )

Jumaat, 24 Februari 2012

PETUA MENJADIKAN RAMBUT HITAM BERKILAT

Bancuh kopi pekat (tanpa gula / susu). Biarkan kopi tersebut sejuk. Lumurkan rambut dengan air kopi. Tutup kepala dengan tuala. Biarkan setengah jam. Kemudian bilas rambut dengan air suam atau air sejuk.

Isnin, 20 Februari 2012

PETUA MEMBERSIHKAN KERANG

Ambil pelepah pisang. Pelepah pisang dikerat-kerat sepanjang setengah inci. Ramas potongan pelepah pisang bersama-sama dengan kerang.

Rabu, 15 Februari 2012

MENGELAKKAN AYAM DIJANGKITI PENYAKIT HAWAR AYAM

Penternak ayam kadang-kadang mendapati ayamnya berak kapur.  Keadaan ini terjadi bila ayam tersebut dijangkiti penyakit hawar ayam. 

Bagi mengelakkan ayam dijangkiti penyakit hawar ayam,
penternak ayam hendaklah mencincang bawang merah dan menggaulkannya dengan makanan ayam sebelum memberi ayam tersebut makan. 

Isnin, 13 Februari 2012

PETUA MENAJAMKAN GUNTING YANG TUMPUL

Ambil daun buluh dan gunting daun buluh tersebut dengan gunting  yang tumpul berulangkali.

KEDUT AKIBAT SETERIKA

Kain baju akan berkedut seperti terbakar atau tertarik jika suhu seterika terlalu panas.  Untuk menghilangkannya seterikakan kembali kain baju tadi dengan melapikkan daun pisang di atas kain baju itu.  Insya - Allah kain baju itu akan elok licin seperti sediakala.

( Sumber : Utusan Pengguna, Disember 1990 m/s 19 Petua Tradisi )

MENAJAMKAN PISAU

Biasanya kita menajamkan pisau dengan menggunakan batu atau pengasah.  Cara lain untuk menajamkan pisau yang tumpul ialah dengan mengasahnya dengan sebilah pisau lain.  Lakukannya selama kira-kira 10 minit.

( Sumber : Utusan Pengguna, Disember 1990 m/s 19 Petua Tradisi )

MEMBERSIHKAN KERANG

Hampas kelapa sememangnya banyak gunanya.  Salah satu daripada kegunaannya ialah untuk membersihkan kerang.  Campurkan hampas kelapa dengan kerang yang hendak dicuci.  Gosokkan hampas kelapa pada kerang.  Kemudian cucilah kerang itu.

( Sumber : Utusan Pengguna, Disember 1990 m/s 19 Petua Tradisi )

SARANG SERABAI

Resepi ini dicilok dari Resepi Raidah Kuih Serabai Kuah Durian.


SERABAI

BAHAN-BAHAN
500 gm Tepung Beras
300 gm nasi - kisar bersama sedikit air sehingga hancur
1 1/2 biji kelapa - perah santan dengan air suam dan jadikan 1 liter
1 1/2 sudu kecil yis / baking soda
Garam Secukup Rasa

CARA PENYEDIAAN
(a)       Campurkan yis / baking soda dengan santan suam dan kacau sebati
(b)       Kemudian campurkan kesemua bahan SERABAI hingga sebati dan peram sehingga 2 jam (kecairan bancuhan sama seperti membuat kuih cara)
(c)       Untuk memudahkan, masukkan ke dalam alat pengisar dan kisar sehingga hancur.
(d)       Panaskan acuan SERABAI atau non stick pan dan sapukan sedikit minyak
(e)       Masukkan adunan 3/4 penuh ke dalam acuan SERABAI dan masak hingga adunan masak di atas api kecil. Buat sehingga habis adunan.


KUAH DURIAN

BAHAN-BAHAN
1 cawan gula perang
2 cawan santan
Isi durian atau lempok secukupnya
2 helai daun pandan - disimpul / diikat
Garam Secukup Rasa

CARA PENYEDIAAN
Campurkan kesemua bahan ke dalam periuk dan masak dengan menggunakan api yang sederhana hingga pekat.

PINGGAN MANGKUK BERMINYAK

Pinggan mangkuk berminyak sering menimbulkan masalah untuk mencucinya.  Bagaimanapun, perahan limau nipis dapat menghilangkan minyak dan bau hanyir pinggan mangkuk.  Caranya ialah dengan memerah limau nipis ke dalam bekas berisi sabun atau serbuk pencuci.  Gunakan sabun berisi air limau nipis itu untuk mencuci pinggan mangkuk yang berminyak.

( Sumber : Utusan Pengguna, Disember 1990 m/s 19 Petua Tradisi )

MENGILATKAN PERABOT KAYU

Perabot kayu juga memerlukan penjagaan rapi terutamanya yang telah lama digunakan.  Debu dan kotoran mudah melekat jika tidak dibersihkan selalu.  Untuk menjadikan perabot kayu itu kelihatan bersih dan berkilat,  minyak kelapa boleh digunakan.  Ambil kain atau span yang telah dicelupkan dengan minyak kelapa, kemudian gosokkan di permukaan yang kotor hingga bersih.  Dengan itu perabot kayu akan kelihatan berkilat dan bersih.

( Sumber : Utusan Pengguna, Disember 1990 m/s 19 Petua Tradisi )

Khamis, 9 Februari 2012

Khamis, 26 Januari 2012

PETUA MENGURANGKAN MASALAH BATUK

(a)        Dapatkan timun yang agak besar. Belah secara melintang timun tersebut dua kali dan asingkan isinya supaya timun tersebut akan menjadi seperti kolek/perahu.

(b)        Gaulkan isi timun yang diasingkan dengan gula batu. Masukkan kembali ke dalam timun dan tutup dengan kulit timun yang terpisah.

(c)       Embunkan timun tersebut semalaman. Keesokan paginya, makan isi timun tersebut.

Rabu, 18 Januari 2012

PETUA MENYEMBUHKAN PENYAKIT KENCING MANIS

(a)       Ambil tujuh kuntum kudup bunga teratai dan rebus. Minum airnya segelas setiap hari. Apabila air rebusan kering, tambahkan dengan air baru dan ulangi sehingga air rebusan yang pahit menjadi tawar.


(b)      Ambil lima kuntum kudup bunga teratai dan rebus. Minum airnya segelas setiap hari. Apabila air rebusan kering, tambahkan dengan air baru dan ulangi sehingga air rebusan yang pahit menjadi tawar.


(c)      Ambil tiga kuntum kudup bunga teratai dan rebus.  Minum airnya segelas setiap hari. Apabila air rebusan kering, tambahkan dengan air baru dan ulangi sehingga air rebusan yang pahit menjadi tawar.


(d)      Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan penyakit kencing manis yang anda hidapi.

Selasa, 3 Januari 2012

SERANGGA MASUK TELINGA

(a)       Tutup hidung, mulut dan telinga yang tidak dimasuki serangga dengan jari / tangan serentak. Tahan nafas dan tunggu sehingga serangga keluar dengan sendirinya.


(b)       Sekiranya tindakan di atas tidak berjaya, bulatkan telinga yang tidak dimasuki serangga dengan kapur sirih.


(c)       Sekiranya serangga tersebut gagal dikeluarkan, dapatkan pemeriksaan doktor.