Rabu, 18 Julai 2012

KUALI BARU MELEKAT

Bagi mengelak kuali yang baru pertama kali digunakan melekat, goreng hampas kelapa (tanpa minyak) sehingga kekuningan.  Kemudian cuci kuali dan barulah gunakan untuk menggoreng.

( Sumber : ModeMega 13.07.2012 )

Jumaat, 6 Julai 2012

HILANGKAN SAKIT GASTRIK

Semalam Nisfu Sya'aban. Tidak lama Ramadhan berkunjung tiba. Saya terbaca dalam Lubuk Petua Warisan Mengenai Sakit Gastrik.

Ambil sehelai pucuk betik tua, sedikit ibu kunyit dan ibu garam sebesar jari kelingking.  Tumbukkan ketiga-tiga bahan tadi sehingga lumat dan gaulkan dengan setengah cawan air.  Tapis air tersebut dan minum. Amalkan seminggu sekali selama tiga minggu.

Sempat kalau mulakan hari ini juga. Minggu pertama pada 06 Julai 2012 (16 Sya'aban 1433), minggu kedua pada 13 Julai 2012 (23 Sya'aban 1433) dan minggu ketiga pada 20 Julai 2012 (30 Sya'aban 1433).

Selasa, 3 Julai 2012

PETUA MENGURANGKAN SAKIT GIGI

Masukkan serai yang diketuk ke dalam cawan bersama-sama garam. Tuangkan air panas. Kumur apabila suhunya menjadi suam-suam kuku. 

Selasa, 12 Jun 2012

PETUA BERJABAT TANGAN

Kita hendaklah bersangka baik sesama kita. Apabila orang menghulurkan tangan untuk berjabat dengan kita, kita hendaklah menyambut dengan bersalam (berjabat tangan) dengannya demi memupuk silaturrahmi sesama kita.

Tetapi ada kalanya, segelintir daripada mereka tidak ikhlas berjabat tangan dengan kita. Contohnya mereka ingin melepaskan belaan kepada kita tanpa kita sedari melalui berjabat tangan. Belaan yang dimaksudkan ialah makhluk halus yang mendampingi mereka.

Sekiranya kita khuatir perkara tersebut berlaku dan pada masa yang sama ingin menyambut salamnya (berjabat tangan), maka hendaklah menggenggam pergelangan tangannya dan bukan pada telapak tangan. Wallahu 'alam. 

Khamis, 31 Mei 2012

PETUA BAGI MENGURANGKAN KESAN CUACA PANAS

Saya difahamkan petua ini diamalkan oleh buruh-buruh India yang bekerja membina jalan raya.

Semasa menanak nasi, jerang air. Ketika air dalam periuk nasi mendidih; keluarkan air didihan nasi ke dalam cawan dengan menggunakan senduk.

Sekiranya dua cawan air didihan nasi diambil; maka gantikan dengan dua cawan air panas daripada cerek dan masukkan ke dalam periuk nasi. 

Minum air didihan nasi apabila sejuk. Selamat Mencuba.

Selasa, 22 Mei 2012

PETUA MENGELAKKAN PENYAKIT BATU KARANG

Setiap pagi minum sesudu cuka epal dan sesudu madu.

Nota : Hari ini majikan saya menjalani pembedahan di Hospital Pantai Puteri kerana terdapat enam ketul batu karang pada hempedunya. Saya doakan majikan saya selamat menjalani pembedahan tersebut. Amin.

Rabu, 9 Mei 2012

PETUA MENGHILANGKAN SAKIT GIGI

Getah dari kulit pokok cermai (atau nama saintifiknya Phyllanthus Acidus) mujarab dijadikan ubat sakit gigi.  Caranya adalah dengan mengambil kulit pokok dan dikeringkan sedikit kemudian direbus.

Air rebusan yang telah sejuk boleh digunakan untuk berkumur dan mujarab menghilangkan sakit gigi.

( Sumber : http:noorhasnahadam.multiply.com/journal )